Monday, July 25, 2011

Novel Imaen lagi - Labyrinth (awas, golongan Gay di luar sana)


1. 1. Sekali lagi saya mahu mengulas buku Imaen dan kali ini, Labyrinth. Saya terjumpa buku ini di sebuah kedai buku yang bagai hidup segan mati tak mahu dan merasakan itu perkara yang luar biasa kerana buku Imaen yang selalu ditemui di kedai buku hanyalah Seikat Kembang Merah dan Bohemian. Cerita yang lain, saya menutup mata dan membeli juga buku ini dengan wang saku yang tinggal nyawa-nyawa ikan kerana tidak mahu melepaskan peluang membaca karya Imaen yang terawal ini.

2. 2. Kali ini saya perlu menukar minda saya untuk berfikiran kritikal kerana Labyrinth berunsur romantic-thriller. sudah tentu gaya Imaen berlainan dari Blues Retro yang gila-gila atau Sigaraning yang separuh mencemaskan (ya, kerana separuh lagi kisah cinta.) setakat ini novel thriller melayu yang pernah dibaca hanyalah karya Ramlee Awang Murshid dan saya mencuba menghayati rentak imaen pula. Bukan mudah untuk menulis tentang thriller kerana plot cerita perlu dirancang dengan teliti supaya tidak kelihatan seperti terlalu klise atau mudah diteka oleh pembaca.

3. 3. Labyrinth membawa saya masuk ke dalam dunia penyiasatan polis. Detektif Kamal, Hanani dan Salman ditugaskan untuk mencari pembunuh bersiri yang telah membunuh dua mangsa dengan kejam. Si mati ditikam dan kepalanya ditukul ( bukan dipukul) sehingga bersepai dan bercerai dari badan. Mereka sukar untuk mencari petunjuk kes kerana pembunuh cekap menyembunyikan dan menghilangkan segala jejak. Dia cuma meninggalkan nota bertulis tangan di tepi mayat, lantas mereka meminta kerjasama Doktor Dani, pakar dalam bidang linguistic forensik dan mempunyai latar belakang dan kepakaran dalam menganalisis tulisan dan simbol.

4. 4. Saya cukup teruja menghayati helaian demi helaian kerana tidak sabar-sabar untuk mengetahui bagaimana polis-polis tersebut mencari pembunuh. Yang anehnya, berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh doktor yang melakukan ‘post mortem’ terhadap mayat mangsa, kesemua orang yang dibunuh ialah lelaki homoseksual. Pada mulanya jalan cerita agak perlahan kerana saksi-saksi yang boleh membawa kepada pembunuh kesemuanya mati dibunuh atau mati kerana kemalangan sehinggalah Dani menemukan suatu hipotesis mengenai sifat pembunuh. Itu anda harus dapatkan Labyrinth untuk kejutannya!

5. 5. Kisah yang lain, Kamal jadi lekas akrab dengan Dani kerana mereka sama-sama berkongsi minat membaca dan menonton dokumentari walaupun kedua-duanya dari dunia yang berbeza. Kamal yang menghadapi masalah rumahtangga sudah lama mengetepikan Tuhan kerana putus asa dan Dani, mungkin seorang yang sangat memahami karakter manusia lewat tulisan dan perbuatan, tetapi jadi kaget apabila mahu melamar gadis pujaan. Bukanlah mudah untuk seorang lelaki meluahkan masalah yang mengganggu jiwa dan mereka ditakdirkan Tuhan untuk berkongsi masalah dan sama-sama menasihati.

6. 6. Sebenarnya kekuatan Imaen terletak pada bahasanya dan tulisannya yang begitu dekat dengan masyarkat. Saya cukup suka menghayati segala falsafah hidup yang ditulis Imaen dan kadangkala tergelak kerana ‘masuk’ dengan situasi yang dihadapi sekarang tetapi kadang-kadang juga boleh jadi sayu dan menikam kalbu. Malah di bawah prolog Imaen mencatatkan ‘kepada yang mengetuk, pintu tidak pernah tertutup.’ Langsung tiada kaitan dengan apa yang ditulis seterusnya tetapi cukup untuk menarik minat pembaca bagi menyelak helaian seterusnya.

7. 7. Imaen selalu menggambarkan kehidupan manusia yang biasa tetapi apa yang membuatkannya unik ialah cara manusia itu berfikir dan menguruskan kehidupannya. Semua karakter yang dicipta Imaen membawa kita kembali merenung posisi kita sebagai hamba Allah yang sangat lemah. Contohnya di sini, Kamal seorang detektif yang tegas tetapi jadi lemah di depan mertuanya kerana dia begitu takut untuk menegakkan haknya sebagai suami. Lantas, Tuhan mentakdirkan dia untuk bertemu Dani dan kembali mencari kekuatan dari Tuhan. Begitu juga dengan pembunuh dan kesemua watak antagonis, ia memberi kita kesedaran bahawa manusia melakukan kejahatan adalah kerana pilihan sendiri dan bahana mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan.

8. 8. Keseluruhannya , buku ini cukup menarik untuk dibaca. Pada pandangan saya, Imaen berjaya menjadikan Labyrinth ‘hidup’ kerana pembunuh hanya meninggalkan bukti yang sangat samar dan kelihatan begitu mustahil untuk polis menemukan petunjuk kes . Dan mungkin pening-pening lalat sedikit dengan karakter pembunuh yang sangat ironis!Tidak banyak kejutan tetapi penuh ironis!

9. 9. Nah, sedikit petikan dari nota pembunuh. Selamat menjejaki pembunuh homoseks!

Akulah angsa yang terbang ke syurga, mengintai di sebalik daun awan memerhati manusia dalam rakus menelanjangi bumi merompak hartanya memperkosa!






Friday, July 15, 2011

Novel : Sigaraning

1. Ini novel Imaen yang keempat yang saya baca. Macam-macam kata yang didengari mengenai novel ini. Kata teman yang ini, Sigaraning agak ‘berat’. Teman yang lagi satu mengatakan Sigaraning lebih seronok dari Bohemian. Macam-macam. Tetapi ingat, tak kenal maka tak cinta dan penilaian itu berbeza bagi setiap individu.

2. Soalan yang selalu ditanyakan orang apabila melihat buku ini ialah maksud Sigaraning itu sendiri. Saya bertanya sendiri dengan seorang rakan dari Indonesia yang merupakan orang Jawa tulen. Wah, betapa bersemangatnya saya! Dia ketawa dan menerangkan Sigar/Sigaran bermaksud separuh atau belahan. Jadi, memandangkan Ali Imran memanggil Salina ‘Sigaraning Nyawa’, saya kira maksudnya ialah belahan jiwa atau kekasih atau teman yang sangat rapat.

3. Kali ini Imaen menceritakan tentang Ali Imran, pemilik pasar mini Muslimart. Ali seorang yang bercita-cita tinggi kerana dia mahu mengembangkan perniagaannya seluas-luas mungkin dan menjadi standing dengan pengusaha pasar raya besar.

4. Selalunya hero dalam cerita Imaen bukan ditekankan atas paras rupa dan material. Jangan mengharapkan heronya sangat kacak sehingga gadis boleh terpotong jari atau CEO syarikat konglomerat. Hero Imaen berkarakter sederhana dan atas nama manusia yang tidak sempurna, sekali sekala membuat kesalahan juga.

5. Di sini, Ali peniaga yang bukan sebarangan kerana dia jujur dan sedaya upaya cuba mengamalkan prinsip islam dalam perniagaannya seperti isu halal dan haram, kualiti bahan yang dijual dan semuanya dipandang dengan teliti dari penampilan pekerja sehinggalah cara melayan pelanggan dan pembekal.

6. Buku ini sarat dengan teori dan hal berkenaan ekonomi dan saya akui saya agak pening ketika mula-mula membacanya. Ekonomi bukanlah sesuatu yang kosong langsung dalam pemikiran saya kerana pernah belajar ekonomi asas ketika di asasi dahulu tetapi kali ini Imaen mengupas dengan lebih dalam. Agak memeningkan tetapi saya sukakan cabaran dan perlahan-lahan cuba mengaitkan teori yang dibincangkan dengan realiti yang berlaku.

7. Contohnya, Imaen membongkar taktik pembekal dalam berurusan dengan pembeli seperti pura-pura kehabisan stok untuk menaikkan harga barang mengikut teori permintaan dan penawaran Adam Smith dalam buku Wealth of Nation,juga boleh jadi pembekal tidak menjual barang kerana kepentingan politik atau bahasa kasarnya saya sebut hasad dengki. Ada juga tentang prinsip ekonomi dalam surah Yusuf bikin saya lebih teruja untuk menghabiskan bacaan. Macam-macam dan menyeronokkan.

8. Oh, Ali Imran ini baru ditinggalkan kekasihnya, Salina. Hampir separuh gila cuba untuk mendapatkan Salina kembali tetapi mengikut pepatah Arab, walaupun apa yang dihajati hanya sedekat jarak antara dua bibir, kita tetap tidak akan mendapatkannya tanpa izin Tuhan!

9. Nah, ketika Ali cuba mengubat hati yang terluka dengan memandu kereta Kancilnya tanpa arah tuju, dia terjumpa dua buah kereta yang baru lepas kemalangan. Ali tidak jadi membantu kerana mayat-mayat bergelimpangan kelihatan seperti penjahat tetapi dia membawa lari 2 buah beg yang salah satunya berisi duit. Nah, Itulah yang akan menjadi masalah yang memburu Ali hingga tamat cerita nanti.

10. Berbalik pada kisah Salina tadi, macam-macam yang Ali cuba lakukan seperti menayang kereta BMW yang dipinjamnya dari Rais untuk membuktikan kewangannya yang kukuh dan menunggu di hadapan pintu pagar Salina berjam-jam lamanya sehingga Salina tergamak memanggil polis untuk menahan Ali. Saya simpati pada Ali kerana dia buta menilai cinta. Sudah terang lagi bersuluh Salina itu tidak dapat menerima dia seadanya. Ali pemuda yang baik, tidak meninggalkan solat, jujur dan punya pekerjaan malah bercita-cita tinggi. Salina tidak sealiran dengan Ali kerana dia memaksa Ali untuk kerja makan gaji dan merendah-rendahkan pula pekerjaan Ali. Sudah terang-terangan Salina bukan mencintai Ali kerana peribadinya. Agak lucu juga membaca kisah Ali yang masih mahu mendepankan dada dan muka ketika dibawa masuk ke dalam kereta polis. Ego lelaki.

11. Dan selepas ribut ada pelangi. Tuhan menemukan pula Ali dengan Vivian, gadis kacukan Melayu dan Serani. Mereka pernah bergaduh sakan ketika di universiti dahulu dan akhirnya ditemukan kembali dalam situasi yang hampir bergaduh juga. Lucu. Ali terlanggar belakang kereta Vivian dan disitu mereka berkenalan dan akhirnya menjadi rapat.

12. Vivian ini jiwanya kacau. Asalnya seorang gadis muslim tetapi merajuk dengn Tuhan kerana mengambil nyawa ayah dan ibunya dalam kemalangan, lalu dia menjadi Atheis. Faham-faham sahajalah peranan Ali dalam perkara ini, ya (senyum). Dia berusaha membawa Vivian kembali ke pangkal jalan dan di saat hati Vivian mula lembut, tekun menghafal surah fatihah dan memakai baju kurung menggantikan skirt, cinta mereka yang tidak pernah terucap itu diuji bahana duit 2 juta dan dadah yang dibawa lari oleh Ali dahulu. Barang-barang itu sebenarnya kepunyaan kumpulan Mafia yang memang sudah lama diburu polis.

13. Pada pandangan saya, buku ini menarik. Anda dapat mempelajari ilmu ekonomi dalam bahasa yang lebih mudah, juga sejarah mafia dan pengikut Rastafari yang berambut 'dreadlock'. Bagus juga kerana anak muda kini suka terikut-ikut dengan budaya yang dibawa dari luar tetapi tidak mengetahui asal-usul sebenar budaya tersebut. Cantik untuk saya memetik hadis Nabi Muhammad s.a.w,

"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka." (riwayat imam abu daud dan imam ahmad)

14. Cuma saya sedikit keliru dengan kisah Detektif Azlan yang disyaki bersubahat dengan penjenayah sedangkan dia menyuruh Figaro, orang bawahannya untuk menjadi mafia dan mengorek maklumat dari mereka. Agak tergantung di situ.

15. Tentang kisah cinta Ali dan Vivian, Imaen berpesan dia bercerita secara klise dan kekal dengan prinsip mencintai seseorang dengan tidak berlebihan. Apa yang saya dapat fahami, cinta itu luas dan tidak perlukan sebab yang pasti. Bukan sesempit menuturkan ‘I love you’ untuk menggambarkan cinta, bermesra-mesra dan berkepit 24 jam tetapi sejauh mana kita dapat menyandarkan ia pada cinta ilahi. Cuma, saya tidak begitu bersetuju dengan tindakan Vivian selepas Ali membuat pengakuan. Ah, kalau terlalu lurus jalan ceritanya jadi tidak enak pula, bukan?

16. Saya suka juga watak Nurul. Sahabat Ali dunia dan akhirat. Dia lelaki yang soleh, rajin menasihati Ali dan sempat tersenyum lebar apabila datang menjamin Ali di balai. Pada saya, dia sahabat sejati kerana dia tidak pernah merendah-rendahkan Ali atau mencemuh apabila prinsip mereka bertentangan dan mungkin penulis sengaja mahu mencipta lagi kesayuan, kisah Nurul berakhir dengan tragis dan menyedihkan.

17. Ya, Seperti biasa anda boleh ketawa dengan humor Imaen yang terasa sangat dekat dengan kehidupan seharian. Ketawa-ketawa juga, tetapi jangan lupa menangkap maksud tersirat. Selamat menghayati Sigaraning:)

Saturday, June 11, 2011

Bara Cinta Canberra

Sudah lama saya tidak mengulas buku. Kali terakhir adalah pada tahun lepas untuk seorang teman dan saya mendapat buku IMAM sebagai hadiah. Ya, itu kenangan yang cukup manis. Jadi, kali ini untuk Bara Cinta Canberra oleh Ilham Hamdani. Saya kira pertemuan dengan buku ini sesuai buat saya yang sedang kusut dan dilanda berbagai keserabutan. Terima kasih, ya Allah. Saya berfikir, mengapa bara cinta? Apa cinta itu seperti bara? Hangat tetapi tiba-tiba boleh menjadi marak menjadi api besar. Mungkin penulis mahu menggambarkan yang cinta itu begitu sederhana,kadang menyala perlahan, kadang marak dengan tiba-tiba dan kadang boleh padam terus.


Begitu banyak nilai dalam novel ini hingga saya jadi tamak pula untuk mengulas semua. Secara ringkasnya, buku ini mengisahkan Hakimi, seorang pemuda lulusan Australia National University dalam jurusan kejuruteraan tetapi memilih untuk menjadi kerani di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Canberra.

Hakimi membawa diri ke Canberra, Australia kerana hatinya terluka. Ayah Nia Suraya, seorang ternama, menolak lamaran Hakimi untuk Nia malah menghina-hina pula taraf Hakimi dan Nia Suraya yang tidak sedarjat. Hakimi juga gagal mendapat pekerjaan di Malaysia dan sudahlah jatuh ditimpa tangga, ibu Hakimi pula kembali ke rahmatullah. Hakimi ternyata tidak betah menghadapi semua kegagalan dan kesedihan lalu memilih untuk lari ke sana.
Sayang, dia lari bukan untuk mencari kekuatan dari Tuhan tetapi dia alpa dan menyalahkan Tuhan. Dia meneguk arak dan berpeleseran dengan gadis –gadis untuk merawat hati yang hancur. Lantas Tuhan menemukan dia dengan makcik Marwa, seorang wanita Palestin yang berhati tabah walaupun berkerusi roda. Makcik Marwa menasihati Hakimi saban hari, membisikkan kata-kata hikmah berupa ayat Quran dan cerita tentang ketuhanan. Kata-kata dari Makcik Marwa cukup membuai dan indah sehingga saya juga berasa seperti dinasihati wanita itu.

Antara kata-kata makcik Marwa ialah “ Apabila kita mencintai bunga yang cantik, bunga itu kemudiannya akan layu, gugur dan seterusnya mati. Sebaliknya, kalau kita mencintai Tuhan, sedarlah bahawa Tuhan itu sentiasa hidup, tidak mungkin mati dan Tuhan itu sentiasa, pasti…mencintai kita, anakku.”
Dan lagi “ Di balik setiap kesulitan itu ada kegembiraan. Bukankah orang selalu berkata, di balik awan kelabu ada sinar bercahaya. Cumanya kita harus bersabar. Itulah ubat yang paling mujarab,anakku.”

Konfliknya, Hakimi ditimpa kemalangan dan saat itu dia betul-betul bertaubat dan lalu ditemukan pula oleh Tuhan dengan Izzudin Al-Qassam, anak saudara Makcik Marwa. Ukhwah yang terjalin dengan pemuda cacat itu sungguh-sungguh menyedarkan Hakimi yang terleka dalam mencari Tuhan. Izzudin kehilangan kedua belah kakinya semasa berjuang di Palestin menentang Zionis dan mata kanannya juga cacat tetapi dia tetap ketagih syahid, setiap hari menyesali nasib kerana tidak terkorban bersama-sama adik beradiknya yang lain di Palestin dan dalam kepayahan begitu, dia masih mampu mengajar bekas pelajar-pelajarnya secara internet konferensi dan macam-macam lagi usaha untuk menambah amalnya.

Sebenarnya cerita dalam buku ini bukanlah begitu luar biasa. Ada banyak cerita tentang keinsafan, taubat dan cerita cinta yang tidak kesampaian di luar sana tetapi keistimewaan buku ini terletak pada plot yang kemas, bahasa yang cukup indah dan cantik tersusun. Penuh falsafah dan cerita-cerita yang menyeronokkan. Langsung tidak membosankan.

Oh, cerita cinta jangan dilupakan. Sepanjang proses Hakimi mencari Tuhan,dia juga perlu untuk membuat pilihan antara Nia suraya, gadis berwajah sesegar embun pagi atau Melissa, secantik bulan penuh. Dua-dua menawar cinta dan Hakimi tersepit di antara kenangan semalam bersama Nia Suraya dan buruan cinta dari Melissa. Ya, anda perlu baca buku ini untuk mengetahui siapa yang Hakimi akan pilih. Ah, terlalu banyak peristiwa dan antaranya bagaimana ayah Nia Suraya diberi balasan oleh Tuhan, Nia suraya diculik dan macam-macam lagi. Semuanya tersusun dengan cukup baik dan terlalu banyak ilmu dalam sebuah buku.

Saya cadangkan anda memilikinya. Rasai lazatnya cerita yang dihidangkan. Cukup manis sehingga saya jadi terliur dengan nikmat yang Hakimi perolehi sepanjang dia mencari Tuhan. Saya juga jadi lebih terdorong untuk mencari cinta Tuhan sungguh-sungguh dan mahu mengajak anda semua merasai apa yang saya rasakan. Buat yang sedang patah hati atau terluka, masih mencari arah tuju hidup atau diganggu celaru, buku ini sesuai untuk anda. Bacalah dengan penuh penghayatan dan dengan nama Tuhan yang menciptakan, insyaAllah masuk dalam jiwa.


Thursday, June 2, 2011

kematian itu pasti.

Jiran depan rumah saya telah meninggal dunia semalam. Dia, allahyarham mengalami kemalangan jalanraya. Memang kalau sudah ditakdirkan Tuhan, sesuatu akan tetap terjadi tanpa lengah sesaat pun. Arwah mahu menghantar kawan ke tempat kerja dan pelik, kali ini dia yang membonceng. Lantas kerana itu apabila kawannya brek mengejut, dia tercampak dari motor dan aduh, helmetnya juga longgar, tercabut dan kepala menghentak jalan.

Saya kira hentakan itu sangat kuat kerana tulang mukanya remuk dan mencucuk otak. Kata emak, tubuhnya langsung tidak ada luka kecuali tangannya yang sedikit calar. Arwah berada di hospital dari 1 Jun dan menghembuskan nafas terakhir pada 2 Jun. Tuhan itu maha penyayang kerana arwah tidak menanggung kesakitan terlalu lama.

Pilu menyelubungi hati dan perasaan kerana arwah langsung tidak sedarkan diri untuk melihat wajah ayah, ibu dan adik tunggalnya sebelum pergi. Lebih sebak lagi apabila ibunya beriya-iya bercerita yang arwah baru mendapat gaji, membeli seluar baru, beg duit untuk adiknya dan sibuk bertanya-tanya bila dia boleh menikah. Aduh, pilu sekali. Adiknya meraung-raung dan marah-marah tidak dapat menerima kenyataan yang abangnya berkeadaan sebegitu.

Arwah berumur 23 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang animasi di UiTM. Walaupun saya tidak pernah bercakap dengan arwah, tetapi pemergian dia tetap dirasai dan menginsafkan. Terasa umur yang muda ini tidak memberi makna apa-apa kerana ajal boleh menjemput bila-bila. Saya bersyukur kerana berita ini membuatkan saya lebih beringat-ingat tentang kematian dan berusaha keras-keras untuk melakukan persiapan untuk menghadapi kematian dan akhirat.

Minta tolong kalian untuk menyedekahkan al-fatihah untuk arwah ya.