Monday, November 21, 2011
Apabila
dan kamu terduduk menangis.
menangislah sekuat hati
sepenuh perasaan hingga lepas segalanya
jangan beritahu sesiapa kerana ada yang tidak faham
suka melabel itu ini dan menghakimi tanpa tahu yang sebenar.
dan akhirnya kamu menangis lagi kerana kata-kata mereka yang tidak memahami.
Apabila datang ujian.
Ia hanya kerana dua.
Untuk menebus dosa.
Ataupun untuk menguatkan lagi keimanan.
Bukankah itu yang kamu minta lewat doa kamu di dalam solat?
Permata berharga tidak akan terhasil tanpa tekanan suhu tinggi dari bumi.
Jadi tersenyumlah.
Dan bersangka baik pada Dia.
Bukankah ada yang pernah mengatakan kamu cantik sekali apabila tersenyum? :)
Wednesday, November 9, 2011
10 perkara tentang S.O.S
Perkara 0.5. Cantiklah grafik majalah ini. Syabas buat mereka yang bekerja keras untuk menghasilkan majalah ini mahupun yang menyumbangkan idea.
1. S.O.S adalah akronim untuk Suara Orang Seni dan diterbitkan dalam bentuk Zine. Anda tidak akan dapat membeli majalah ini di kedai buku kerana ia dijual secara 'underground' atau bawah tanah. masukkan duit ke akaun bank mereka dan mereka akan poskan pada anda. Klik untuk maklumat lebih lanjut tentang pembelian S.O.S
2. Tajuk utama muka hadapan ialah Rebel Suara Baru! Perkataan Rebel itu buat jadi lebih bersemangat kerana adalah menjadi perkara biasa untuk anak-anak muda seperti saya untuk gemarkan apa-apa yang bersifat Rebel atau menentang (he he). Jadi, S.O.S mahu buat apa sebenarnya? Namun apabila membaca kata-kata dari editor, ternyata S.O.S cuba melontarkan suara original manusia melalui seni dan tanda rebel pada syarikat percetakan atau kedai buku yang 'pilih kasih' pada seni.
3. Isi kandungan berlatarkan 'sketches' di kafe. Ada tempat bermain muzik, sofa, secawan kopi. Mengingatkan saya pada lokasi Dian Sastrowijdoyo membacakan puisi Chairil Anwar dengan alunan gitar. Anda pasti tahu filem apa. Ya, menariklah dong!
4. Aidil Khalid di ruang sofa S.O.S meletakkan ungkapan yang mencurigakan ' Aidil menganggap bidang guaman dan undang-undang sebagai isteri sahaja, sedangkan seni dan kesusasteraan pula sebagai gundiknya'. Ok lah jangan serius sangat. Maksudnya di sini mungkin bidang guaman dan undang-undang (menguap) ialah tanggungjawab dan untuk mencari pendapatan tetap manakala seni dan sastera ialah medium untuk berseronok-seronok, bebas mengekspresi dan kepuasan berkarya.
5. Selepas membaca tulisan Rebecca Ilham, saya akui kadang-kadang kita sombong, mahu pilih kedai buku yang eksklusif sahaja sedangkan rupa apa pun, kedai buku tetap menjual buku. Pendapat saya agak berbeza. Pada saya, yang buruk itulah yang mengundang keseronokan dan misteri. Mana tahu di dalamnya ada buku yang diharamkan, hanya tinggal beberapa naskhah sahaja di dunia ataupun boleh jadi terjumpa buku nota Adolf Hitler yang dikatakan tidak mati tetapi lari ke Indonesia dan menjadi doktor. Wah.
6. Nami Cob Nobbler menulis tentang Rebel dan Bahasa. Seronok dibaca walaupun terpaksa membaca beberapa kali ayat-ayat yang awal dan penat berfikir untuk menangkap maksud penulis. Mencabar minda. 'I like'
7. Mahu sangat tahu apa maksud pusi 'Begitu Cara' oleh Aisyah Husein Rais kerana sudah menjadi tabiat meneka-neka maksud puisi dengan guru dan kawan-kawan ( yang mahu baca puisi) kerana puisi boleh ditafsirkan dengan seribu makna dan jadi seronok apabila dapat meneka maksud yang sama yang mahu disampaikan penulis puisi. Ok sebenarnya saya mahu kata saya suka puisi ini. Tetapi mahu tahu juga siapa 'yang meniduri puisi cinta' dan siapa 'puisi cinta'.
8.Setahun yang lalu, pensyarah apresiasi sastera saya menyuruh kami menyalin pusi Gak Gak Gak. Setakat menyalin sajalah untuk memenuhkan waktu dan dapat A. Rupa-rupanya ia ditulis penyair avant-garde terkenal, A. Ghafar Ibrahim. Dalam S.O.S, beliau menceritakan tentang puisinya. Em, kompleks dan ya, bukan semua dapat memahami puisi tetapi jangan sesekali meremehkan.
9. Jaga-jaga, di mukasurat 35, ada cerpen Delirium oleh Roslan Jomel. Tiada pengakhiran cerita dan 100% monolog dalaman watak utama. Saya berasa sedikit tertekan dan tidak menghabiskan bacaan kerana tidak mahu dihantui monolog dalaman watak utama tentang kematian. Bukan tidak seronok cuma mahu merehatkan fikiran sebentar:)
10. Di akhir muka, ada 'Cucuk-cucuk Jarum Peniti' yang tidak kurang menariknya. Meluahkan kekecewaan dan kritikan pada isu semasa dalam dunia seni dan sastera. Baru tahu novel dan pengkritik bagai simbiosis, saling bergantung dan memerlukan seperti Salina yang diangkat A. Teuww dan H.B Jassin mempopularkan Chairil Anwar.
Ada banyak lagi tentang S.O.S!
Anda harus dapatkannya sendiri untuk meneroka suara orang seni! Terasa hebat memiliki majalah ini walaupun ada istilah yang tidak difahami dan nama-nama yang tidak pernah didengari sejak azali. Tetapi itulah seni bukan, ghairah tanpa batasan dan boleh wujud dalam apa-apa bentuk dan kadang-kadang memeningkan kepala manusia. Keseronokannya bergantung pada individu!
SILA BELI :)) S.O.S
**saya menulis ulasan ini tanpa komisen.(ha ha).Alamak lupa nak ulas Zine yg dah dibaca lebih awal dari ini.
Wednesday, August 3, 2011
diam, tak perlu kata apa-apa.

Ramadhan 10 tahun yang lalu

Tuesday, August 2, 2011
menyahrasa IV - Sebenarnya bukan Nabi Yusuf a.s
Semalam mungkin aku bermimpi lagi dan kali ini aku mungkin telah bermimpi berjumpa lelaki sekacak Nabi Yusuf a.s.
Ya, Nabi Yusuf yang Kau jadikan lebih indah dari purnama dan bermimpi bulan dan bintang sujud padanya.
Aku gumam Surah Yusuf perlahan-lahan tetapi hanya sampai ayat yang ketiga.
kerana aku hanya menghafal sampai situ. Ustazah kata amalkan selalu untuk meringankan jodoh (hi hi hi)
Ya lah, aku mungkin bertemu lelaki yang sangat kacak kerana apabila bangun tidur, jari telunjuk dan jari hantuku sakit-sakit.
Aku membelek-belek kedua jariku yang tembam dan rupanya ada luka!
Oh, jadi benarlah sangkaanku!
Aku baca lagi surah Yusuf sambil tergedik-gedik melipat selimut.
“Oi, anak dara! Mata tu pandang ke bawah semasa mengupas bawang!” Herdik Mak Cik dari mana entah.
Aku terkejut dan merasa sakit!
Aduh, jariku terhiris lagi!
Sempat lagi berfikir, mungkin ini petanda amalanku membaca Surah Yusuf telah makbul!
Sudah 3 hari mengupas bawang dan 3 hari berturut-turut itulah jariku terhiris pisau!
“Oi budak gila!” Herdik lagi Mak Cik entah dari mana.
pesanan penulis- baca ayat Al-Quran perlu ikhlas kerana Tuhan.
*gambar diambil dari sini
Sunday, July 31, 2011
menyahrasa III- kerana masanya belum sampai

kata Tuhan, masanya belum sampai.
bukan kerana mereka yang tidak setuju.
Saya putus tunang, dia ketawakan saya.
Dia putus tunang, saya ketawakan dia balik!
akhirnya,
dia menyarung cincin di jari manis saya.
saya sarung cincin di jari manis dia.
dugaan yang datang bertalu-talu.
sebelum dan selepas kami bersatu.
dia pandang saya dan tersenyum.
saya pandang dia kembali dan senyum.....
kata mereka, kalau dah tahu kita ada jodoh, dah kahwin lama dah!
eh bukanlah..kata Tuhan, kerana masanya belum sampai:)
pesanan penulis- tahniah untuk kamu berdua dengan kelahiran putera ini. syukur!
Saturday, July 30, 2011
menyahrasa II

kamu.
kenapa jadi sedingin air batu?
dan suhunya hanya dirasai aku
baiklah, aku pergi jauh-jauh.
seperti kabus hujan pagi aku akan perlahan-lahan menghilang tanpa kesan.
aku tidak boleh marah.
aku hanya boleh pergi jauh-jauh.
****dan setiap kali itu, kamu memanggil. dengan beku,
dan aku datang lagi dan pergi lagi kerana kamu masih dingin.
ah, sudahlah kamu dan aku.
pesanan penulis- aku bukan menulis kerana benci.
*gambar ABC diambil dari blog travelpod naemah


