Thursday, May 17, 2012

Aku mengenali dia di dunia yang lagi satu


    Aku mengenali dia di dunia yang lagi satu. Saat matahari terbenam pertama kali di bulan Mac, aku  mulai teringat-ingat wajahnya yang tenang. Pandaknya yang tidak begitu rapi, ketawanya yang tiba-tiba pecah, rambutnya yang hitam ikal dan bibirnya yang licin. Suatu perasaan yang luar biasa hingga kamu lupa bagaimana kehidupan kamu sebelum ini tanpa dia. Entah berapa banyak masak dihabiskan untuk berdua-duaan di dalam sepasang matanya. Kau pun tahu, kata-kata tidak pernah cukup untuk mengungkap perasaan dan kau pun tahu kau tidak memerlukan sebab untuk jatuh cinta.

    Pada suatu hari, masih menyaksikan mentari yang sama, dia meninggalkan aku sendiri tanpa berkata apa-apa. Dia langsung tidak peduli dengan jeritan dan tangisanku. Aku merayu-rayu pada dia bagai orang yang kurang siuman. Aku menarik-narik lengan bajunya tetapi dia masih mahu pergi. Aku memukul-mukul dadanya yang bidang tapi dia masih begitu. Jadi bisu.

     Setiap kali dia muncul dalam maya dan sedar, aku memujuk-mujuknya supaya membenarkan aku kembali ke dalam sepasang matanya. Dia tidak melawan namun sepasang matanya masih begitu. Kosong. Sepasang mata yang tidak lagi menembak apa-apa perasaan dari hatinya. Aku mencampakkan loket ungu pemberiannya ke dalam lautan di timur. Kerana kesedihan yang amat, aku terus lari ke bahagian bumi yang paling dalam. Aku menyumpah-nyumpahnya dalam setiap waktu yang aku ada. Mengapa Tuhan membuatkannya begitu jatuh cinta dan sekarang jatuh sakit yang menenatkan.
Pada suatu hari ketika aku cuba memecahkan kaca bingkai gambarnya dengan tanganku, ibu hampir menamparku dan mengheretku ke rumah ibunya.

    “ Nah, jika kau tidak dapat membunuhnya, bunuhlah ibunya! Mereka punyai darah yang sama!”
Ah, ibunya juga begitu. Punyai sepasang mata yang kini kosong dan menyakitkan hati. Anehnya, perempuan itu hanya tersenyum ikhlas dan berkata,  

“Zanjabila, dia cuma pergi berperang dengan dirinya yang lagi satu.”

    Aku terdiam dan tiba-tiba air mata tidak lagi menitis ke cawan kopi seperti selalu. Tanda sepi. Aku tidak lagi memaki hamun sesiapa yang bercinta di hadapanku. Aku tidak lagi cuba mencarinya di dunia yang lagi satu. Aku tidak jadi mengoyakkan suratnya. Aku mulai malu dan pada Tuhan kerana terus melupakan Dia, pemilik cinta yang memberikan aku rasa sehebat itu.



Dan pada malam itu aku bermimpi berpegangan tangan dengannya di syurga.

Thursday, April 26, 2012

CURHAT

Kau boleh saja meludah pada hari yang sial. Kerja yang bertimbun, pembentangan kes mahkamah yang tidak pernah surut, ragam manusia yang menjelikkan, menyumpah-nyumpah meja kerja yang semakin semak dengan kertas, dan macam-macam lagi perkara yang menyakitkan. Kadangkala peristiwa pahit datang mengganggu, menyerang hati dan air mata pun menitis.

Kau juga tahu yang makian ada di mana-mana, penikam belakang badan, dan juga si hipokrit yang pura-pura jadi malaikat. Kau sendiri pun keliru yang mana satu kawan dan lawan.


Tetapi kau boleh saja memilih untuk berlapang dada. Mencium pipi bayi yang sejuk dan gebu, melihat kucing comel bersembunyi di bawah kain batik emak, dan mencicip kopi panas di petang hari.
Paling penting kau boleh dengan senang hati mengulang baca buku kegemaran tanpa rasa bersalah. Boleh juga berangan-angan yang suatu hari nanti cinta sejati akan datang dengan sepaket coklat Maltese.


Kau seharusnya tahu kasih sayang Tuhan ada di mana-mana pun.


Lihat, kau boleh saja berpura-pura tidak melihat tugasan yang belum diselesaikan.


Ah, kau muda lagi tak perlulah terlalu tertekan.:)




Friday, April 6, 2012

Biar Peluru Menembus Kulitku

Terasa mahu menampal puisi di sini di saat bangun pagi dan harus ke firma untuk menyiapkan kerja:)


AKU 

Kalau sampai waktuku 
'Ku mau tak seorang kan merayu 
Tidak juga kau 

Tak perlu sedu sedan itu 

Aku ini binatang jalang 
Dari kumpulannya terbuang 

Biar peluru menembus kulitku 
Aku tetap meradang menerjang 

Luka dan bisa kubawa berlari 
Berlari 
Hingga hilang pedih peri 

Dan aku akan lebih tidak perduli 

Aku mau hidup seribu tahun lagi 


Maret 1943


~ Charil Anwar

Saturday, February 25, 2012

Legit Ignorantia Non Excusat



Terasa baru sahaja selesai menamatkan asasi undang-undang, baru mengaduh kerana kaki tersadung ketika terkejar-kejar semasa Program Mesra Siswa untuk pelajar baru, baru sahaja senyum dalam gambar untuk kad matrik yang hanya digantung di leher apabila nampak kelibat pakcik Jaga, dan baru sahaja berpeluh-peluh membuat pembentangan tentang pencerobohan NATO di Yugoslavia.

Akhirnya 6 semester untuk ijazah pengajian undang-undang telah tamat dan alhamdulillah saya lulus semua subjek. Tahniah juga untuk kawan-kawan yang lain dan InsyaAllah akan menyambung 2 semester lagi untuk Ijazah Profesional atau LLB dan seterusnya 9 bulan latihan dalam kamar atau Chambering. Panjang kan perjalanan tetapi terasa sebentar sangat.




                          hari pertama di UiTM Shah Alam. Comot dan comel semuanya.haha


Saya agak gentar juga katanya LLB ini menggerunkan. Belajar terlalu banyak subjek dalam masa 2 semester, susah nak mati, tertekan nak gila, dan macam-macam lagi. Tetapi saya hanya berharap yang saya masih mempunyai masa untuk menimba ilmu di luar kelas selain dapat membaca sejuta lagi buku yang saya mahu baca. Oh, itu belum lagi buku yang mahu diulang baca!


Perjalanan ini seronok ini kerana saya belajar banyak perkara samada di dalam atau luar kelas dan semakin banyak belajar, semakin saya merasakan yang banyak lagi yang saya perlu belajar.
Terima kasih buat  semua pensyarah yang telah mengajar, memberi nasihat dan memahami, rakan-rakan dan ibu bapa yang selalu mendoakan.

Saya suka belajar undang-undang cuma kadangkala bosan dengan sistem pembelajaran yang agak rigid dan terkejar-kejar. Terlalu banyak yang harus dipelajari dalam masa yang singkat. Wah, itu belum lagi LLB yang katanya ada 10 subjek dalam satu semester!! Kerana itu saya berdoa supaya Tuhan menguatkan semangat dan mengurniakan kesabaran untuk kami terus berjuang, bersilat dan bertaekwondo dengan cabaran yang akan kami tempuhi ini.

Dan cuti hanya tinggal beberapa hari lagi (sobb sobb)


                             


                                                     hari-hari terakhir di semester 6 

Wednesday, February 1, 2012

Kasih lelaki (tentang bapak)



Dia juga mengajar aku mengayuh basikal. Beberapa kali aku terjatuh dan terluka tetapi dia masih mengangkat aku kembali dan mengemaskan kaki di basikal.
Dia yang mengajar aku membaca waktu hingga jam dinding yang satu itu retak.
Dia yang menitiskan air mata saat pertama kali aku menjejakkan kaki ke universiti dan akan berjauhan dari keluarga.
Dia yang lebih gembira daripada aku sendiri apabila aku mendapat tempat pertama di sekolah.
Dia dan banyak lagi tentang dia.

Sehingga aku merasakan tidak layak untuk ada secebis sakit hati pada dia.

Dan apabila melihat bapak mulai sakit-sakit dan menelah puluhan butir ubat.
Hati jadi sayu.
Aku memanjatkan doa supaya diberi peluang untuk menjaga bapak dengan ikhlas sampai bila-bila.

Aku memang ingin bapak selalu sihat dan baik-baik sahaja tetapi lebih dari itu.
Aku mahu Allah memberikan dia syurga kerana aku sedar betapa beratnya tanggungjawab seorang lelaki yang bernama suami dan bapak.


Ampunkan kesilapan dan cintai dia,Tuhanku.


Dia lelaki pertama yang aku kenali dan sayangi.
Melalui dia aku fahami kasih lelaki bukan dari bicaranya.
Tetapi lihatlah dari perbuatan dan juga sinar matanya. Sungguh berlebih-lebihan kasihnya.
Dia memang bukan ibu yang begitu pemurah kata-kata sayang dan simpati.
Tetapi budinya tak pernah kurang.

Mungkin  tulisan ini agak berlebih-lebihan tetapi sepatutnya begitu lah, tiada kata yang paling tepat dapat mengungkap penghargaan untuk bapak.

Dan aku tidak pernah jemu mahu menggosokkan kemeja dan bersalam dengan bapak.
kerana itulah antara yang termampu untuk berterima kasih pada dia.

Lagi, aku mahu jadi kebanggaan bapak dan kegembiraan dia.
Aku mengharapkan bapak juga akan mendoakan
Satu hari nanti akan ada lelaki yang akan berjabat tangan dengan bapak untuk meminta aku dengan hormat.

Dan semoga aku juga dapat menggosok kemeja dan bersalam dengan lelaki yang kedua selepas bapak itu dengan ikhlas dan senang hati!

Semoga Tuhan kabulkan:)



Friday, December 23, 2011

Mungkin ini Mens Rea seorang lelaki (01)



“Tidak. Semuanya kerana saya cintakan dia.”


Mahkamah hingar. Peguambela sengaja menjatuhkan pen tanda geram dengan kliennya yang memberi jawapan yang tidak masuk akal. Hakim menggeleng-geleng kepala. Pendakwa raya menekup mulut dan tergelak-gelak. Seisi kamar Mahkamah Tinggi 102 Shah Alam kaget dan berbisik-bisik. Perbicaraan yang membosankan sejak setengah jam yang lalu mulai mendapat perhatian penuh.

Tentunya jawapan Aliff untuk soalan pendakwaraya, ‘Adakah anda setuju bahawa anda telah membunuh Dahlia pada dua puluh haribulan dua belas tahun dua ribu tujuh di Apartment Seindah Kasih dengan membakarnya menggunakan minyak tanah kerana bermotifkan dendam pada si mati? bukanlah jawapan yang biasa untuk ditulis jurutaip hakim.

Aliff senyum.

Dia sudah biasa orang ramai mentertawakan dia sejak dari kecil. Mungkin juga sejak dia dilahirkan dan dibuang di tempat pembuangan sampah. Oh, juga ketika dia memakai seluar yang senteng ke sekolah kerana wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli seluar baru habis digunakan ibu untuk berjudi.
Lagi ketika gadis-gadis mengejek fizikalnya yang pendek dan tidak sasa.
Juga boleh jadi ketika dia terkencing di dalam seluar selepas diugut Mamat dan geng supaya tidak memberitahu pengetua yang mereka meraba Aina di depan matanya sendiri.
Dan juga ketika pertama kali dia jatuh cinta pada Dahlia. Sehingga itu pun Amin dan Cacang masih sempat menjentik telinganya dan ketawa. Dia memang sudah biasa.

Bersambung..


(gambar dicuplik dari sini)


Sunday, December 4, 2011

semua gadis dan lelaki memang cantik dan kacak tetapi




Adalah tidak indah pemandangan seorang gadis cantik sedang memaki hamun.
Terjerit-jerit dengan suara tinggi.
Mencerca semua yang berada di depan mata. Bayi yang sedang tidur pun akan terkejut dan menangis sama.
Bising.                 
Semua binatang pun akan lari bertempiaran.
Dan bidadari syurga yang jernih kulitnya akan menggeleng-geleng kepala dari atas sana.
Bayangkan Pontianak sekarang.



Seorang lelaki yang kacak, memakai haruman mahal.
Tetapi tidak tahu seluar jeans sudah berapa lama tidak dibasuh.
Mata gadis jadi bulat besar apabila memandang Adam yang segak dan pura-pura membetulkan tudung.
Tiba-tiba lelaki itu tersepak batu dan mengaduh.
Mengaduh dan lagi perkataan BABI, sakit sial, puk****, Fuck!
Semua binatang lari lagi bertempiaran.
Haruman jadi bau telur busuk.



 *gambar tiada kena-mengena dengan pontianak atau gadis cantik.

* bukan juga orang seni.