Monday, November 21, 2011

Apabila

Apabila datang ujian
dan kamu terduduk menangis.
menangislah sekuat hati
sepenuh perasaan hingga lepas segalanya
jangan beritahu sesiapa kerana ada yang tidak faham
suka melabel itu ini dan menghakimi tanpa tahu yang sebenar.

dan akhirnya kamu menangis lagi kerana kata-kata mereka yang tidak memahami.

Apabila datang ujian.
Ia hanya kerana dua.
Untuk menebus dosa.
Ataupun untuk menguatkan lagi keimanan.
Bukankah itu yang kamu minta lewat doa kamu di dalam solat?

Permata berharga tidak akan terhasil tanpa tekanan suhu tinggi dari bumi.

Jadi tersenyumlah.
Dan bersangka baik pada Dia.




Bukankah ada yang pernah mengatakan kamu cantik sekali apabila tersenyum? :)

Wednesday, November 9, 2011

10 perkara tentang S.O.S

Ini 10 perkara yang saya tahu atau fikirkan tentang S.O.S.


Perkara 0.5. Cantiklah grafik majalah ini. Syabas buat mereka yang bekerja keras untuk menghasilkan majalah ini mahupun yang menyumbangkan idea.

1. S.O.S adalah akronim untuk Suara Orang Seni dan diterbitkan dalam bentuk Zine. Anda tidak akan dapat membeli majalah ini di kedai buku kerana ia dijual secara 'underground' atau bawah tanah. masukkan duit ke akaun bank mereka dan mereka akan poskan pada anda. Klik untuk maklumat lebih lanjut tentang pembelian S.O.S

2. Tajuk utama muka hadapan ialah Rebel Suara Baru! Perkataan Rebel itu buat jadi lebih bersemangat kerana adalah menjadi perkara biasa untuk anak-anak muda seperti saya untuk gemarkan apa-apa yang bersifat Rebel atau menentang (he he). Jadi, S.O.S mahu buat apa sebenarnya? Namun apabila membaca kata-kata dari editor, ternyata S.O.S cuba melontarkan suara original manusia melalui seni dan tanda rebel pada syarikat percetakan atau kedai buku yang 'pilih kasih' pada seni.

3. Isi kandungan berlatarkan 'sketches' di kafe. Ada tempat bermain muzik, sofa, secawan kopi. Mengingatkan saya pada lokasi Dian Sastrowijdoyo membacakan puisi Chairil Anwar dengan alunan gitar. Anda pasti tahu filem apa. Ya, menariklah dong!

4. Aidil Khalid di ruang sofa S.O.S  meletakkan ungkapan yang mencurigakan ' Aidil menganggap bidang guaman dan undang-undang sebagai isteri sahaja, sedangkan seni dan kesusasteraan pula sebagai gundiknya'. Ok lah jangan serius sangat. Maksudnya di sini mungkin bidang guaman dan undang-undang (menguap) ialah tanggungjawab dan untuk mencari pendapatan tetap manakala seni dan sastera ialah medium untuk berseronok-seronok, bebas mengekspresi dan kepuasan berkarya.

5. Selepas membaca tulisan Rebecca Ilham, saya akui kadang-kadang kita sombong, mahu pilih kedai buku yang eksklusif sahaja sedangkan rupa apa pun, kedai buku tetap menjual buku. Pendapat saya agak berbeza. Pada saya, yang buruk itulah yang mengundang keseronokan dan misteri. Mana tahu di dalamnya ada buku yang diharamkan, hanya tinggal beberapa naskhah sahaja di dunia ataupun boleh jadi terjumpa buku nota Adolf Hitler yang dikatakan tidak mati tetapi lari ke Indonesia dan menjadi doktor. Wah.



6. Nami Cob Nobbler menulis tentang Rebel dan Bahasa. Seronok dibaca walaupun terpaksa membaca beberapa kali ayat-ayat yang awal dan penat berfikir untuk menangkap maksud penulis. Mencabar minda. 'I like'

7. Mahu sangat tahu apa maksud pusi 'Begitu Cara' oleh Aisyah Husein Rais kerana sudah menjadi tabiat meneka-neka maksud puisi dengan guru dan kawan-kawan ( yang mahu baca puisi) kerana puisi boleh ditafsirkan dengan seribu makna dan jadi seronok apabila dapat meneka maksud yang sama yang mahu disampaikan penulis puisi. Ok sebenarnya saya mahu kata saya suka puisi ini. Tetapi mahu tahu juga siapa 'yang meniduri puisi cinta' dan siapa 'puisi cinta'.

8.Setahun yang lalu, pensyarah apresiasi sastera saya menyuruh kami menyalin pusi Gak Gak Gak. Setakat menyalin sajalah untuk memenuhkan waktu dan dapat A. Rupa-rupanya ia ditulis penyair avant-garde terkenal, A. Ghafar Ibrahim. Dalam S.O.S, beliau menceritakan tentang puisinya. Em, kompleks dan ya, bukan semua dapat memahami puisi tetapi jangan sesekali meremehkan.

9. Jaga-jaga, di mukasurat 35, ada cerpen Delirium oleh Roslan Jomel. Tiada pengakhiran cerita dan 100% monolog dalaman watak utama. Saya berasa sedikit tertekan dan tidak menghabiskan bacaan kerana tidak mahu dihantui monolog dalaman watak utama tentang kematian. Bukan tidak seronok cuma mahu merehatkan fikiran sebentar:)

10. Di akhir muka, ada 'Cucuk-cucuk Jarum Peniti' yang tidak kurang menariknya. Meluahkan kekecewaan dan kritikan pada isu semasa dalam dunia seni dan sastera. Baru tahu novel dan pengkritik bagai simbiosis, saling bergantung dan memerlukan seperti Salina yang diangkat A. Teuww dan H.B Jassin mempopularkan Chairil Anwar.



Ada banyak lagi tentang S.O.S! 
Anda harus dapatkannya sendiri untuk meneroka suara orang seni! Terasa hebat memiliki majalah ini walaupun ada istilah yang tidak difahami dan nama-nama yang tidak pernah didengari sejak azali. Tetapi itulah seni bukan, ghairah tanpa batasan dan boleh wujud dalam apa-apa bentuk dan kadang-kadang memeningkan kepala manusia. Keseronokannya bergantung pada individu!

SILA BELI :)) S.O.S

**saya menulis ulasan ini tanpa komisen.(ha ha).Alamak lupa nak ulas Zine yg dah dibaca lebih awal dari ini.