Friday, December 23, 2011

Mungkin ini Mens Rea seorang lelaki (01)



“Tidak. Semuanya kerana saya cintakan dia.”


Mahkamah hingar. Peguambela sengaja menjatuhkan pen tanda geram dengan kliennya yang memberi jawapan yang tidak masuk akal. Hakim menggeleng-geleng kepala. Pendakwa raya menekup mulut dan tergelak-gelak. Seisi kamar Mahkamah Tinggi 102 Shah Alam kaget dan berbisik-bisik. Perbicaraan yang membosankan sejak setengah jam yang lalu mulai mendapat perhatian penuh.

Tentunya jawapan Aliff untuk soalan pendakwaraya, ‘Adakah anda setuju bahawa anda telah membunuh Dahlia pada dua puluh haribulan dua belas tahun dua ribu tujuh di Apartment Seindah Kasih dengan membakarnya menggunakan minyak tanah kerana bermotifkan dendam pada si mati? bukanlah jawapan yang biasa untuk ditulis jurutaip hakim.

Aliff senyum.

Dia sudah biasa orang ramai mentertawakan dia sejak dari kecil. Mungkin juga sejak dia dilahirkan dan dibuang di tempat pembuangan sampah. Oh, juga ketika dia memakai seluar yang senteng ke sekolah kerana wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli seluar baru habis digunakan ibu untuk berjudi.
Lagi ketika gadis-gadis mengejek fizikalnya yang pendek dan tidak sasa.
Juga boleh jadi ketika dia terkencing di dalam seluar selepas diugut Mamat dan geng supaya tidak memberitahu pengetua yang mereka meraba Aina di depan matanya sendiri.
Dan juga ketika pertama kali dia jatuh cinta pada Dahlia. Sehingga itu pun Amin dan Cacang masih sempat menjentik telinganya dan ketawa. Dia memang sudah biasa.

Bersambung..


(gambar dicuplik dari sini)


0 comments: