Saturday, February 25, 2012

Legit Ignorantia Non Excusat



Terasa baru sahaja selesai menamatkan asasi undang-undang, baru mengaduh kerana kaki tersadung ketika terkejar-kejar semasa Program Mesra Siswa untuk pelajar baru, baru sahaja senyum dalam gambar untuk kad matrik yang hanya digantung di leher apabila nampak kelibat pakcik Jaga, dan baru sahaja berpeluh-peluh membuat pembentangan tentang pencerobohan NATO di Yugoslavia.

Akhirnya 6 semester untuk ijazah pengajian undang-undang telah tamat dan alhamdulillah saya lulus semua subjek. Tahniah juga untuk kawan-kawan yang lain dan InsyaAllah akan menyambung 2 semester lagi untuk Ijazah Profesional atau LLB dan seterusnya 9 bulan latihan dalam kamar atau Chambering. Panjang kan perjalanan tetapi terasa sebentar sangat.




                          hari pertama di UiTM Shah Alam. Comot dan comel semuanya.haha


Saya agak gentar juga katanya LLB ini menggerunkan. Belajar terlalu banyak subjek dalam masa 2 semester, susah nak mati, tertekan nak gila, dan macam-macam lagi. Tetapi saya hanya berharap yang saya masih mempunyai masa untuk menimba ilmu di luar kelas selain dapat membaca sejuta lagi buku yang saya mahu baca. Oh, itu belum lagi buku yang mahu diulang baca!


Perjalanan ini seronok ini kerana saya belajar banyak perkara samada di dalam atau luar kelas dan semakin banyak belajar, semakin saya merasakan yang banyak lagi yang saya perlu belajar.
Terima kasih buat  semua pensyarah yang telah mengajar, memberi nasihat dan memahami, rakan-rakan dan ibu bapa yang selalu mendoakan.

Saya suka belajar undang-undang cuma kadangkala bosan dengan sistem pembelajaran yang agak rigid dan terkejar-kejar. Terlalu banyak yang harus dipelajari dalam masa yang singkat. Wah, itu belum lagi LLB yang katanya ada 10 subjek dalam satu semester!! Kerana itu saya berdoa supaya Tuhan menguatkan semangat dan mengurniakan kesabaran untuk kami terus berjuang, bersilat dan bertaekwondo dengan cabaran yang akan kami tempuhi ini.

Dan cuti hanya tinggal beberapa hari lagi (sobb sobb)


                             


                                                     hari-hari terakhir di semester 6 

Wednesday, February 1, 2012

Kasih lelaki (tentang bapak)



Dia juga mengajar aku mengayuh basikal. Beberapa kali aku terjatuh dan terluka tetapi dia masih mengangkat aku kembali dan mengemaskan kaki di basikal.
Dia yang mengajar aku membaca waktu hingga jam dinding yang satu itu retak.
Dia yang menitiskan air mata saat pertama kali aku menjejakkan kaki ke universiti dan akan berjauhan dari keluarga.
Dia yang lebih gembira daripada aku sendiri apabila aku mendapat tempat pertama di sekolah.
Dia dan banyak lagi tentang dia.

Sehingga aku merasakan tidak layak untuk ada secebis sakit hati pada dia.

Dan apabila melihat bapak mulai sakit-sakit dan menelah puluhan butir ubat.
Hati jadi sayu.
Aku memanjatkan doa supaya diberi peluang untuk menjaga bapak dengan ikhlas sampai bila-bila.

Aku memang ingin bapak selalu sihat dan baik-baik sahaja tetapi lebih dari itu.
Aku mahu Allah memberikan dia syurga kerana aku sedar betapa beratnya tanggungjawab seorang lelaki yang bernama suami dan bapak.


Ampunkan kesilapan dan cintai dia,Tuhanku.


Dia lelaki pertama yang aku kenali dan sayangi.
Melalui dia aku fahami kasih lelaki bukan dari bicaranya.
Tetapi lihatlah dari perbuatan dan juga sinar matanya. Sungguh berlebih-lebihan kasihnya.
Dia memang bukan ibu yang begitu pemurah kata-kata sayang dan simpati.
Tetapi budinya tak pernah kurang.

Mungkin  tulisan ini agak berlebih-lebihan tetapi sepatutnya begitu lah, tiada kata yang paling tepat dapat mengungkap penghargaan untuk bapak.

Dan aku tidak pernah jemu mahu menggosokkan kemeja dan bersalam dengan bapak.
kerana itulah antara yang termampu untuk berterima kasih pada dia.

Lagi, aku mahu jadi kebanggaan bapak dan kegembiraan dia.
Aku mengharapkan bapak juga akan mendoakan
Satu hari nanti akan ada lelaki yang akan berjabat tangan dengan bapak untuk meminta aku dengan hormat.

Dan semoga aku juga dapat menggosok kemeja dan bersalam dengan lelaki yang kedua selepas bapak itu dengan ikhlas dan senang hati!

Semoga Tuhan kabulkan:)