CINTA MATI
* Cerpen ini diinspirasikan dari buku cerpen Etgar Keret, Drebar Bas Yang Nak Jadi Tuhan.
Dia
seorang gadis yang tak pernah bercinta pun. Yang dia tahu cinta itu maki hamun,
jerit, pukul dan sepak terajang kerana dia lihat ayahnya mecintai ibunya dengan
sebegitu. Ibunya, Puan Lily seorang
perempuan yang jelita tetapi sekarang ibunya kelihatan seperti buruh kasar.
Namun ibunya tetap melayan ayahnya macam raja. Menyokong ayahnya tatkala
saudara mara mengutuk sikap baran ayahnya dan juga menyediakan Salmon Lox,
makanan kegemaran ayah pada setiap hari Jumaat. Ayah akan sendawa di meja makan
dengan perut terkeluar dari seluar dan ibunya akan tersenyum. Apabila ibu jatuh
sakit, ayah akan meninggikan suara dan menyuruh ibu berhenti jadi emosional dan
lemah.
Suatu
hari seorang lelaki, Alfred datang dalam hidupnya.
Alfred kata dia sangat manis dan baik. Alfred mahu memandang matanya yang indah
selama-lamanya. Dia bingung kerana baginya cinta bukanlah begitu. Dia baru
ditampar ayahnya kerana mahu keluar ke kedai membeli tuala wanita. Baginya
itu baru kasih sayang. Ayah sayang dia dan risaukan keselamatannya. Kerana itu
dia perlu ditampar. Akhirnya dia menolak Alfed secara baik dan Alfred pun pergi
dengan hati yang kecewa.
Dia
terus hidup dalam rumah yang dihuni ibu dan bapanya sehingga dia berumur 27
tahun. Ayah naik berang kerana ayah tidak mahu menyimpan andartu yang
menghabiskan beras. Ayah mengahwinkannya dengan lelaki gemuk yang kerjanya
makan sahaja. Dia sering sesak nafas apabila suaminya yang gemuk memeluknya.
Suaminya melayan dia dengan baik tetapi dia tidak puas hati kerana baginya
kasih sayang bukanlah begitu. Ayahnya patut mengajar suaminya cara hidup
berkeluarga. Dia tidak tahan lagi dan pada suatu malam yang dingin, suaminya
sesak nafas kerana tercekik tulang ikan yang keras, dia menekan ulu hati
suaminya dan menepuk badan belakang dengan kuat tetapi suaminya masih sesak nafas.
Dia bingung dan tidak sanggup melihat suaminya menderita.
Lalu
dia pun mengambil bantal kecil dan menekup muka suaminya dengan
sungguh-sungguh. Suaminya meronta-ronta dan akhirnya kaku. Dia puas. Baginya begitulah
kasih sayang yang sejati.
0 comments:
Post a Comment