Saturday, June 11, 2011

Bara Cinta Canberra

Sudah lama saya tidak mengulas buku. Kali terakhir adalah pada tahun lepas untuk seorang teman dan saya mendapat buku IMAM sebagai hadiah. Ya, itu kenangan yang cukup manis. Jadi, kali ini untuk Bara Cinta Canberra oleh Ilham Hamdani. Saya kira pertemuan dengan buku ini sesuai buat saya yang sedang kusut dan dilanda berbagai keserabutan. Terima kasih, ya Allah. Saya berfikir, mengapa bara cinta? Apa cinta itu seperti bara? Hangat tetapi tiba-tiba boleh menjadi marak menjadi api besar. Mungkin penulis mahu menggambarkan yang cinta itu begitu sederhana,kadang menyala perlahan, kadang marak dengan tiba-tiba dan kadang boleh padam terus.


Begitu banyak nilai dalam novel ini hingga saya jadi tamak pula untuk mengulas semua. Secara ringkasnya, buku ini mengisahkan Hakimi, seorang pemuda lulusan Australia National University dalam jurusan kejuruteraan tetapi memilih untuk menjadi kerani di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Canberra.

Hakimi membawa diri ke Canberra, Australia kerana hatinya terluka. Ayah Nia Suraya, seorang ternama, menolak lamaran Hakimi untuk Nia malah menghina-hina pula taraf Hakimi dan Nia Suraya yang tidak sedarjat. Hakimi juga gagal mendapat pekerjaan di Malaysia dan sudahlah jatuh ditimpa tangga, ibu Hakimi pula kembali ke rahmatullah. Hakimi ternyata tidak betah menghadapi semua kegagalan dan kesedihan lalu memilih untuk lari ke sana.
Sayang, dia lari bukan untuk mencari kekuatan dari Tuhan tetapi dia alpa dan menyalahkan Tuhan. Dia meneguk arak dan berpeleseran dengan gadis –gadis untuk merawat hati yang hancur. Lantas Tuhan menemukan dia dengan makcik Marwa, seorang wanita Palestin yang berhati tabah walaupun berkerusi roda. Makcik Marwa menasihati Hakimi saban hari, membisikkan kata-kata hikmah berupa ayat Quran dan cerita tentang ketuhanan. Kata-kata dari Makcik Marwa cukup membuai dan indah sehingga saya juga berasa seperti dinasihati wanita itu.

Antara kata-kata makcik Marwa ialah “ Apabila kita mencintai bunga yang cantik, bunga itu kemudiannya akan layu, gugur dan seterusnya mati. Sebaliknya, kalau kita mencintai Tuhan, sedarlah bahawa Tuhan itu sentiasa hidup, tidak mungkin mati dan Tuhan itu sentiasa, pasti…mencintai kita, anakku.”
Dan lagi “ Di balik setiap kesulitan itu ada kegembiraan. Bukankah orang selalu berkata, di balik awan kelabu ada sinar bercahaya. Cumanya kita harus bersabar. Itulah ubat yang paling mujarab,anakku.

Konfliknya, Hakimi ditimpa kemalangan dan saat itu dia betul-betul bertaubat dan lalu ditemukan pula oleh Tuhan dengan Izzudin Al-Qassam, anak saudara Makcik Marwa. Ukhwah yang terjalin dengan pemuda cacat itu sungguh-sungguh menyedarkan Hakimi yang terleka dalam mencari Tuhan. Izzudin kehilangan kedua belah kakinya semasa berjuang di Palestin menentang Zionis dan mata kanannya juga cacat tetapi dia tetap ketagih syahid, setiap hari menyesali nasib kerana tidak terkorban bersama-sama adik beradiknya yang lain di Palestin dan dalam kepayahan begitu, dia masih mampu mengajar bekas pelajar-pelajarnya secara internet konferensi dan macam-macam lagi usaha untuk menambah amalnya.

Sebenarnya cerita dalam buku ini bukanlah begitu luar biasa. Ada banyak cerita tentang keinsafan, taubat dan cerita cinta yang tidak kesampaian di luar sana tetapi keistimewaan buku ini terletak pada plot yang kemas, bahasa yang cukup indah dan cantik tersusun. Penuh falsafah dan cerita-cerita yang menyeronokkan. Langsung tidak membosankan.

Oh, cerita cinta jangan dilupakan. Sepanjang proses Hakimi mencari Tuhan,dia juga perlu untuk membuat pilihan antara Nia suraya, gadis berwajah sesegar embun pagi atau Melissa, secantik bulan penuh. Dua-dua menawar cinta dan Hakimi tersepit di antara kenangan semalam bersama Nia Suraya dan buruan cinta dari Melissa. Ya, anda perlu baca buku ini untuk mengetahui siapa yang Hakimi akan pilih. Ah, terlalu banyak peristiwa dan antaranya bagaimana ayah Nia Suraya diberi balasan oleh Tuhan, Nia suraya diculik dan macam-macam lagi. Semuanya tersusun dengan cukup baik dan terlalu banyak ilmu dalam sebuah buku.

Saya cadangkan anda memilikinya. Rasai lazatnya cerita yang dihidangkan. Cukup manis sehingga saya jadi terliur dengan nikmat yang Hakimi perolehi sepanjang dia mencari Tuhan. Saya juga jadi lebih terdorong untuk mencari cinta Tuhan sungguh-sungguh dan mahu mengajak anda semua merasai apa yang saya rasakan. Buat yang sedang patah hati atau terluka, masih mencari arah tuju hidup atau diganggu celaru, buku ini sesuai untuk anda. Bacalah dengan penuh penghayatan dan dengan nama Tuhan yang menciptakan, insyaAllah masuk dalam jiwa.


Thursday, June 2, 2011

kematian itu pasti.

Jiran depan rumah saya telah meninggal dunia semalam. Dia, allahyarham mengalami kemalangan jalanraya. Memang kalau sudah ditakdirkan Tuhan, sesuatu akan tetap terjadi tanpa lengah sesaat pun. Arwah mahu menghantar kawan ke tempat kerja dan pelik, kali ini dia yang membonceng. Lantas kerana itu apabila kawannya brek mengejut, dia tercampak dari motor dan aduh, helmetnya juga longgar, tercabut dan kepala menghentak jalan.

Saya kira hentakan itu sangat kuat kerana tulang mukanya remuk dan mencucuk otak. Kata emak, tubuhnya langsung tidak ada luka kecuali tangannya yang sedikit calar. Arwah berada di hospital dari 1 Jun dan menghembuskan nafas terakhir pada 2 Jun. Tuhan itu maha penyayang kerana arwah tidak menanggung kesakitan terlalu lama.

Pilu menyelubungi hati dan perasaan kerana arwah langsung tidak sedarkan diri untuk melihat wajah ayah, ibu dan adik tunggalnya sebelum pergi. Lebih sebak lagi apabila ibunya beriya-iya bercerita yang arwah baru mendapat gaji, membeli seluar baru, beg duit untuk adiknya dan sibuk bertanya-tanya bila dia boleh menikah. Aduh, pilu sekali. Adiknya meraung-raung dan marah-marah tidak dapat menerima kenyataan yang abangnya berkeadaan sebegitu.

Arwah berumur 23 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang animasi di UiTM. Walaupun saya tidak pernah bercakap dengan arwah, tetapi pemergian dia tetap dirasai dan menginsafkan. Terasa umur yang muda ini tidak memberi makna apa-apa kerana ajal boleh menjemput bila-bila. Saya bersyukur kerana berita ini membuatkan saya lebih beringat-ingat tentang kematian dan berusaha keras-keras untuk melakukan persiapan untuk menghadapi kematian dan akhirat.

Minta tolong kalian untuk menyedekahkan al-fatihah untuk arwah ya.