Aku mengenali dia di dunia yang lagi satu. Saat matahari
terbenam pertama kali di bulan Mac, aku
mulai teringat-ingat wajahnya yang tenang. Pandaknya yang tidak begitu
rapi, ketawanya yang tiba-tiba pecah, rambutnya yang hitam ikal dan bibirnya
yang licin. Suatu perasaan yang luar biasa hingga kamu lupa bagaimana kehidupan
kamu sebelum ini tanpa dia. Entah berapa banyak masak dihabiskan untuk berdua-duaan
di dalam sepasang matanya. Kau pun tahu, kata-kata tidak pernah cukup untuk
mengungkap perasaan dan kau pun tahu kau tidak memerlukan sebab untuk jatuh
cinta.
Pada suatu hari, masih menyaksikan mentari yang sama, dia meninggalkan
aku sendiri tanpa berkata apa-apa. Dia langsung tidak peduli dengan jeritan dan
tangisanku. Aku merayu-rayu pada dia bagai orang yang kurang siuman. Aku
menarik-narik lengan bajunya tetapi dia masih mahu pergi. Aku memukul-mukul
dadanya yang bidang tapi dia masih begitu. Jadi bisu.
Setiap kali dia
muncul dalam maya dan sedar, aku memujuk-mujuknya supaya membenarkan aku kembali
ke dalam sepasang matanya. Dia tidak melawan namun sepasang matanya masih
begitu. Kosong. Sepasang mata yang tidak lagi menembak apa-apa perasaan dari
hatinya. Aku mencampakkan loket ungu pemberiannya ke dalam lautan di timur.
Kerana kesedihan yang amat, aku terus lari ke bahagian bumi yang paling dalam.
Aku menyumpah-nyumpahnya dalam setiap waktu yang aku ada. Mengapa Tuhan
membuatkannya begitu jatuh cinta dan sekarang jatuh sakit yang menenatkan.
Pada suatu hari ketika aku cuba memecahkan kaca bingkai gambarnya
dengan tanganku, ibu hampir menamparku dan mengheretku ke rumah ibunya.
“ Nah, jika kau tidak dapat membunuhnya, bunuhlah ibunya! Mereka
punyai darah yang sama!”
Ah, ibunya juga begitu. Punyai sepasang mata yang kini kosong dan
menyakitkan hati. Anehnya, perempuan itu hanya tersenyum ikhlas dan berkata,
“Zanjabila, dia cuma pergi berperang dengan
dirinya yang lagi satu.”
Aku terdiam dan tiba-tiba air mata tidak lagi menitis ke
cawan kopi seperti selalu. Tanda sepi. Aku tidak lagi memaki hamun sesiapa yang
bercinta di hadapanku. Aku tidak lagi cuba mencarinya di dunia yang lagi satu.
Aku tidak jadi mengoyakkan suratnya. Aku mulai malu dan pada Tuhan kerana terus
melupakan Dia, pemilik cinta yang memberikan aku rasa sehebat itu.
Dan pada malam itu aku bermimpi berpegangan tangan dengannya
di syurga.
1 comments:
ni your own nukilan eh hannan ? perghhhhhhhh
Post a Comment