Friday, December 23, 2011

Mungkin ini Mens Rea seorang lelaki (01)



“Tidak. Semuanya kerana saya cintakan dia.”


Mahkamah hingar. Peguambela sengaja menjatuhkan pen tanda geram dengan kliennya yang memberi jawapan yang tidak masuk akal. Hakim menggeleng-geleng kepala. Pendakwa raya menekup mulut dan tergelak-gelak. Seisi kamar Mahkamah Tinggi 102 Shah Alam kaget dan berbisik-bisik. Perbicaraan yang membosankan sejak setengah jam yang lalu mulai mendapat perhatian penuh.

Tentunya jawapan Aliff untuk soalan pendakwaraya, ‘Adakah anda setuju bahawa anda telah membunuh Dahlia pada dua puluh haribulan dua belas tahun dua ribu tujuh di Apartment Seindah Kasih dengan membakarnya menggunakan minyak tanah kerana bermotifkan dendam pada si mati? bukanlah jawapan yang biasa untuk ditulis jurutaip hakim.

Aliff senyum.

Dia sudah biasa orang ramai mentertawakan dia sejak dari kecil. Mungkin juga sejak dia dilahirkan dan dibuang di tempat pembuangan sampah. Oh, juga ketika dia memakai seluar yang senteng ke sekolah kerana wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli seluar baru habis digunakan ibu untuk berjudi.
Lagi ketika gadis-gadis mengejek fizikalnya yang pendek dan tidak sasa.
Juga boleh jadi ketika dia terkencing di dalam seluar selepas diugut Mamat dan geng supaya tidak memberitahu pengetua yang mereka meraba Aina di depan matanya sendiri.
Dan juga ketika pertama kali dia jatuh cinta pada Dahlia. Sehingga itu pun Amin dan Cacang masih sempat menjentik telinganya dan ketawa. Dia memang sudah biasa.

Bersambung..


(gambar dicuplik dari sini)


Sunday, December 4, 2011

semua gadis dan lelaki memang cantik dan kacak tetapi




Adalah tidak indah pemandangan seorang gadis cantik sedang memaki hamun.
Terjerit-jerit dengan suara tinggi.
Mencerca semua yang berada di depan mata. Bayi yang sedang tidur pun akan terkejut dan menangis sama.
Bising.                 
Semua binatang pun akan lari bertempiaran.
Dan bidadari syurga yang jernih kulitnya akan menggeleng-geleng kepala dari atas sana.
Bayangkan Pontianak sekarang.



Seorang lelaki yang kacak, memakai haruman mahal.
Tetapi tidak tahu seluar jeans sudah berapa lama tidak dibasuh.
Mata gadis jadi bulat besar apabila memandang Adam yang segak dan pura-pura membetulkan tudung.
Tiba-tiba lelaki itu tersepak batu dan mengaduh.
Mengaduh dan lagi perkataan BABI, sakit sial, puk****, Fuck!
Semua binatang lari lagi bertempiaran.
Haruman jadi bau telur busuk.



 *gambar tiada kena-mengena dengan pontianak atau gadis cantik.

* bukan juga orang seni.






Monday, November 21, 2011

Apabila

Apabila datang ujian
dan kamu terduduk menangis.
menangislah sekuat hati
sepenuh perasaan hingga lepas segalanya
jangan beritahu sesiapa kerana ada yang tidak faham
suka melabel itu ini dan menghakimi tanpa tahu yang sebenar.

dan akhirnya kamu menangis lagi kerana kata-kata mereka yang tidak memahami.

Apabila datang ujian.
Ia hanya kerana dua.
Untuk menebus dosa.
Ataupun untuk menguatkan lagi keimanan.
Bukankah itu yang kamu minta lewat doa kamu di dalam solat?

Permata berharga tidak akan terhasil tanpa tekanan suhu tinggi dari bumi.

Jadi tersenyumlah.
Dan bersangka baik pada Dia.




Bukankah ada yang pernah mengatakan kamu cantik sekali apabila tersenyum? :)

Wednesday, November 9, 2011

10 perkara tentang S.O.S

Ini 10 perkara yang saya tahu atau fikirkan tentang S.O.S.


Perkara 0.5. Cantiklah grafik majalah ini. Syabas buat mereka yang bekerja keras untuk menghasilkan majalah ini mahupun yang menyumbangkan idea.

1. S.O.S adalah akronim untuk Suara Orang Seni dan diterbitkan dalam bentuk Zine. Anda tidak akan dapat membeli majalah ini di kedai buku kerana ia dijual secara 'underground' atau bawah tanah. masukkan duit ke akaun bank mereka dan mereka akan poskan pada anda. Klik untuk maklumat lebih lanjut tentang pembelian S.O.S

2. Tajuk utama muka hadapan ialah Rebel Suara Baru! Perkataan Rebel itu buat jadi lebih bersemangat kerana adalah menjadi perkara biasa untuk anak-anak muda seperti saya untuk gemarkan apa-apa yang bersifat Rebel atau menentang (he he). Jadi, S.O.S mahu buat apa sebenarnya? Namun apabila membaca kata-kata dari editor, ternyata S.O.S cuba melontarkan suara original manusia melalui seni dan tanda rebel pada syarikat percetakan atau kedai buku yang 'pilih kasih' pada seni.

3. Isi kandungan berlatarkan 'sketches' di kafe. Ada tempat bermain muzik, sofa, secawan kopi. Mengingatkan saya pada lokasi Dian Sastrowijdoyo membacakan puisi Chairil Anwar dengan alunan gitar. Anda pasti tahu filem apa. Ya, menariklah dong!

4. Aidil Khalid di ruang sofa S.O.S  meletakkan ungkapan yang mencurigakan ' Aidil menganggap bidang guaman dan undang-undang sebagai isteri sahaja, sedangkan seni dan kesusasteraan pula sebagai gundiknya'. Ok lah jangan serius sangat. Maksudnya di sini mungkin bidang guaman dan undang-undang (menguap) ialah tanggungjawab dan untuk mencari pendapatan tetap manakala seni dan sastera ialah medium untuk berseronok-seronok, bebas mengekspresi dan kepuasan berkarya.

5. Selepas membaca tulisan Rebecca Ilham, saya akui kadang-kadang kita sombong, mahu pilih kedai buku yang eksklusif sahaja sedangkan rupa apa pun, kedai buku tetap menjual buku. Pendapat saya agak berbeza. Pada saya, yang buruk itulah yang mengundang keseronokan dan misteri. Mana tahu di dalamnya ada buku yang diharamkan, hanya tinggal beberapa naskhah sahaja di dunia ataupun boleh jadi terjumpa buku nota Adolf Hitler yang dikatakan tidak mati tetapi lari ke Indonesia dan menjadi doktor. Wah.



6. Nami Cob Nobbler menulis tentang Rebel dan Bahasa. Seronok dibaca walaupun terpaksa membaca beberapa kali ayat-ayat yang awal dan penat berfikir untuk menangkap maksud penulis. Mencabar minda. 'I like'

7. Mahu sangat tahu apa maksud pusi 'Begitu Cara' oleh Aisyah Husein Rais kerana sudah menjadi tabiat meneka-neka maksud puisi dengan guru dan kawan-kawan ( yang mahu baca puisi) kerana puisi boleh ditafsirkan dengan seribu makna dan jadi seronok apabila dapat meneka maksud yang sama yang mahu disampaikan penulis puisi. Ok sebenarnya saya mahu kata saya suka puisi ini. Tetapi mahu tahu juga siapa 'yang meniduri puisi cinta' dan siapa 'puisi cinta'.

8.Setahun yang lalu, pensyarah apresiasi sastera saya menyuruh kami menyalin pusi Gak Gak Gak. Setakat menyalin sajalah untuk memenuhkan waktu dan dapat A. Rupa-rupanya ia ditulis penyair avant-garde terkenal, A. Ghafar Ibrahim. Dalam S.O.S, beliau menceritakan tentang puisinya. Em, kompleks dan ya, bukan semua dapat memahami puisi tetapi jangan sesekali meremehkan.

9. Jaga-jaga, di mukasurat 35, ada cerpen Delirium oleh Roslan Jomel. Tiada pengakhiran cerita dan 100% monolog dalaman watak utama. Saya berasa sedikit tertekan dan tidak menghabiskan bacaan kerana tidak mahu dihantui monolog dalaman watak utama tentang kematian. Bukan tidak seronok cuma mahu merehatkan fikiran sebentar:)

10. Di akhir muka, ada 'Cucuk-cucuk Jarum Peniti' yang tidak kurang menariknya. Meluahkan kekecewaan dan kritikan pada isu semasa dalam dunia seni dan sastera. Baru tahu novel dan pengkritik bagai simbiosis, saling bergantung dan memerlukan seperti Salina yang diangkat A. Teuww dan H.B Jassin mempopularkan Chairil Anwar.



Ada banyak lagi tentang S.O.S! 
Anda harus dapatkannya sendiri untuk meneroka suara orang seni! Terasa hebat memiliki majalah ini walaupun ada istilah yang tidak difahami dan nama-nama yang tidak pernah didengari sejak azali. Tetapi itulah seni bukan, ghairah tanpa batasan dan boleh wujud dalam apa-apa bentuk dan kadang-kadang memeningkan kepala manusia. Keseronokannya bergantung pada individu!

SILA BELI :)) S.O.S

**saya menulis ulasan ini tanpa komisen.(ha ha).Alamak lupa nak ulas Zine yg dah dibaca lebih awal dari ini.

Wednesday, August 3, 2011

diam, tak perlu kata apa-apa.


Diam punya banyak makna.
Diam boleh membunuh pihak di sebelah sana.
Diam tanda setuju.
Diam tanda tak perlu nak kata apa-apa lagi.
Diam satu keajaiban untuk mereka yang suka berkata-kata.

Diam juga hati bahagia.
Sana tersenyum dalam diam.
Di sebelah sini membalas senyuman.
Dalam diam.

Diam juga tanda pengakhiran sebuah persahabatan.
Diam boleh jadi tanda kasih kerana lidah jadi kelu.
Diam juga bermakna 'Aku benci kamu'
Diam maknanya 'Aku terluka'
Diamlah! marah ibu pada anaknya.

Diam sajalah.
Diam membunuh.
kadang-kadang jadi yang terbaik.
apabila dua pihak tidak lagi di laluan yang sama.
Kerana itu aku katakan diam membunuh.

Eh, diam juga boleh jadi 'Selamat tinggal'
kalau jumpa, buat-buat tidak kenal.
Ya, kerana itu diam membunuh.

Diam juga tanda air mata sedang mengalir di sebelah sana.
sabda Nabi Muhammad s.a.w, jika tidak dapat berkata yang baik-baik, lebih baik DIAM.
ya, lebih baik daripada terus menyakiti.
Diamlah sampai sembuh.
Allah tetap mendengar.

oh, diam juga tanda duka.
diam pun salah, tak diam pun salah.
Diam itu apa-apa sahaja.

Sebentar,
peninglah!

Oh, diam pun boleh bermaksud protes!!


pesanan penulis - cuti tidak perlu lama-lama sangat. Diam lama-lama boleh gila.


Ramadhan 10 tahun yang lalu


Awak, tahu tak tiba-tiba saya teringat peristiwa yang terjadi lebih 10 tahun dahulu. Ya, kerana Tuhan mahu saya memikirkan buat renungan.
Berlaku di dalam bulan Ramadhan juga tetapi ketika itu budak perempuan itu baru berusia 9 tahun. Dia teruja melihat ramai orang sibuk menyiapkan juadah berbuka dan menghampiri seorang perempuan yang sedang menggaul ulam-ulaman dengan nasi putih.
Hidangan ini dipanggil Nasi Lemuni. Bagus untuk awet muda dan perempuan yang baru lepas bersalin. Awak boleh Google sebelum saya merepek lebih jauh.

Budak perempuan : Nak tolong gaul, boleh?

Perempuan yang sedang menggaul : Tak boleh.

Budak perempuan : Kenapa?

Perempuan yang sedang menggaul : Takut orang geli nak makan.

Dan budak perempuan itu pergi ke ruang tamu untuk bermain anak patungnya.


* Awak, tahu tak yang budak itu langsung tidak merasa tersinggung, apatah lagi hampa. Tetapi selepas 10 tahun, dia membesar menjadi seorang gadis dan tiba-tiba rasa itu datang. Adakah patut perempuan itu mengatakan sebegitu pada seorang budak yang ikhlas mahu membantu? Ah, begitu dangkalnya pemikiran manusia. Apa guna jadi dewasa jika buta mata hati. Boleh jadi jika budak itu yang menggaul, Nasi Lemuni akan jadi lebih sedap ke
rana kanak-kanak mempunyai hati yang suci, lebih tulus kerana
tiada dosa.


Situasi Sekarang -

Saya sedang menggaulkan Mayonese dan telur rebus untuk dijadikan inti Sandwich. Putra
datang menyibuk, menyelit di sebelah saya.

Putra : Kak, nak tolong kacau, boleh?

Saya : Boleh, tapi basuh tangan dulu tau!


*Sebenarnya saya sedikit keberatan untuk beri Putra menggaul bukan kerana geli tetapi takut tumpah! haha.

gambar diambil dari Bing!! Selamat berpuasa!:)


pesanan penulis - wahai manusia, ingat yang kita dahulu pun pernah jadi kanak-kanak yang 'menggelikan' !! hehe

Tuesday, August 2, 2011

menyahrasa IV - Sebenarnya bukan Nabi Yusuf a.s

Semalam.

Semalam mungkin aku bermimpi lagi dan kali ini aku mungkin telah bermimpi berjumpa lelaki sekacak Nabi Yusuf a.s.

Ya, Nabi Yusuf yang Kau jadikan lebih indah dari purnama dan bermimpi bulan dan bintang sujud padanya.

Aku gumam Surah Yusuf perlahan-lahan tetapi hanya sampai ayat yang ketiga.

kerana aku hanya menghafal sampai situ. Ustazah kata amalkan selalu untuk meringankan jodoh (hi hi hi)

Ya lah, aku mungkin bertemu lelaki yang sangat kacak kerana apabila bangun tidur, jari telunjuk dan jari hantuku sakit-sakit.

Aku membelek-belek kedua jariku yang tembam dan rupanya ada luka!

Oh, jadi benarlah sangkaanku!

Aku baca lagi surah Yusuf sambil tergedik-gedik melipat selimut.

“Oi, anak dara! Mata tu pandang ke bawah semasa mengupas bawang!” Herdik Mak Cik dari mana entah.



Aku terkejut dan merasa sakit!

Aduh, jariku terhiris lagi!

Sempat lagi berfikir, mungkin ini petanda amalanku membaca Surah Yusuf telah makbul!

Sudah 3 hari mengupas bawang dan 3 hari berturut-turut itulah jariku terhiris pisau!



“Oi budak gila!” Herdik lagi Mak Cik entah dari mana.


pesanan penulis- baca ayat Al-Quran perlu ikhlas kerana Tuhan.


*gambar diambil dari sini

Sunday, July 31, 2011

menyahrasa III- kerana masanya belum sampai


kata Tuhan, masanya belum sampai.
bukan kerana mereka yang tidak setuju.

Saya putus tunang, dia ketawakan saya.
Dia putus tunang, saya ketawakan dia balik!

akhirnya,
dia menyarung cincin di jari manis saya.
saya sarung cincin di jari manis dia.

dugaan yang datang bertalu-talu.
sebelum dan selepas kami bersatu.

dia pandang saya dan tersenyum.
saya pandang dia kembali dan senyum.....

kata mereka, kalau dah tahu kita ada jodoh, dah kahwin lama dah!

eh bukanlah..kata Tuhan, kerana masanya belum sampai:)


pesanan penulis- tahniah untuk kamu berdua dengan kelahiran putera ini. syukur!



Saturday, July 30, 2011

menyahrasa II





kamu.
kenapa jadi sedingin air batu?
dan suhunya hanya dirasai aku

baiklah, aku pergi jauh-jauh.

seperti kabus hujan pagi aku akan perlahan-lahan menghilang tanpa kesan.

aku tidak boleh marah.
aku hanya boleh pergi jauh-jauh.

****dan setiap kali itu, kamu memanggil. dengan beku,
dan aku datang lagi dan pergi lagi kerana kamu masih dingin.
ah, sudahlah kamu dan aku.



pesanan penulis- aku bukan menulis kerana benci.

*gambar ABC diambil dari blog travelpod naemah

menyahrasa I


Kamu. Tidak mahukah kamu membuat mereka gembira lagi?
Hidup sesingkat bateri telefon bimbit yang sudah rosak.

Pejam celik dan pejam kembali dan kamu sudah berada di dalam tanah.
Siapa sangka syurga ada siapa.

Tidak mahukah menyambung kasih di sana?


****pesanan penulis - jangan pening kepala memikirkan siapa.

Monday, July 25, 2011

Novel Imaen lagi - Labyrinth (awas, golongan Gay di luar sana)


1. 1. Sekali lagi saya mahu mengulas buku Imaen dan kali ini, Labyrinth. Saya terjumpa buku ini di sebuah kedai buku yang bagai hidup segan mati tak mahu dan merasakan itu perkara yang luar biasa kerana buku Imaen yang selalu ditemui di kedai buku hanyalah Seikat Kembang Merah dan Bohemian. Cerita yang lain, saya menutup mata dan membeli juga buku ini dengan wang saku yang tinggal nyawa-nyawa ikan kerana tidak mahu melepaskan peluang membaca karya Imaen yang terawal ini.

2. 2. Kali ini saya perlu menukar minda saya untuk berfikiran kritikal kerana Labyrinth berunsur romantic-thriller. sudah tentu gaya Imaen berlainan dari Blues Retro yang gila-gila atau Sigaraning yang separuh mencemaskan (ya, kerana separuh lagi kisah cinta.) setakat ini novel thriller melayu yang pernah dibaca hanyalah karya Ramlee Awang Murshid dan saya mencuba menghayati rentak imaen pula. Bukan mudah untuk menulis tentang thriller kerana plot cerita perlu dirancang dengan teliti supaya tidak kelihatan seperti terlalu klise atau mudah diteka oleh pembaca.

3. 3. Labyrinth membawa saya masuk ke dalam dunia penyiasatan polis. Detektif Kamal, Hanani dan Salman ditugaskan untuk mencari pembunuh bersiri yang telah membunuh dua mangsa dengan kejam. Si mati ditikam dan kepalanya ditukul ( bukan dipukul) sehingga bersepai dan bercerai dari badan. Mereka sukar untuk mencari petunjuk kes kerana pembunuh cekap menyembunyikan dan menghilangkan segala jejak. Dia cuma meninggalkan nota bertulis tangan di tepi mayat, lantas mereka meminta kerjasama Doktor Dani, pakar dalam bidang linguistic forensik dan mempunyai latar belakang dan kepakaran dalam menganalisis tulisan dan simbol.

4. 4. Saya cukup teruja menghayati helaian demi helaian kerana tidak sabar-sabar untuk mengetahui bagaimana polis-polis tersebut mencari pembunuh. Yang anehnya, berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh doktor yang melakukan ‘post mortem’ terhadap mayat mangsa, kesemua orang yang dibunuh ialah lelaki homoseksual. Pada mulanya jalan cerita agak perlahan kerana saksi-saksi yang boleh membawa kepada pembunuh kesemuanya mati dibunuh atau mati kerana kemalangan sehinggalah Dani menemukan suatu hipotesis mengenai sifat pembunuh. Itu anda harus dapatkan Labyrinth untuk kejutannya!

5. 5. Kisah yang lain, Kamal jadi lekas akrab dengan Dani kerana mereka sama-sama berkongsi minat membaca dan menonton dokumentari walaupun kedua-duanya dari dunia yang berbeza. Kamal yang menghadapi masalah rumahtangga sudah lama mengetepikan Tuhan kerana putus asa dan Dani, mungkin seorang yang sangat memahami karakter manusia lewat tulisan dan perbuatan, tetapi jadi kaget apabila mahu melamar gadis pujaan. Bukanlah mudah untuk seorang lelaki meluahkan masalah yang mengganggu jiwa dan mereka ditakdirkan Tuhan untuk berkongsi masalah dan sama-sama menasihati.

6. 6. Sebenarnya kekuatan Imaen terletak pada bahasanya dan tulisannya yang begitu dekat dengan masyarkat. Saya cukup suka menghayati segala falsafah hidup yang ditulis Imaen dan kadangkala tergelak kerana ‘masuk’ dengan situasi yang dihadapi sekarang tetapi kadang-kadang juga boleh jadi sayu dan menikam kalbu. Malah di bawah prolog Imaen mencatatkan ‘kepada yang mengetuk, pintu tidak pernah tertutup.’ Langsung tiada kaitan dengan apa yang ditulis seterusnya tetapi cukup untuk menarik minat pembaca bagi menyelak helaian seterusnya.

7. 7. Imaen selalu menggambarkan kehidupan manusia yang biasa tetapi apa yang membuatkannya unik ialah cara manusia itu berfikir dan menguruskan kehidupannya. Semua karakter yang dicipta Imaen membawa kita kembali merenung posisi kita sebagai hamba Allah yang sangat lemah. Contohnya di sini, Kamal seorang detektif yang tegas tetapi jadi lemah di depan mertuanya kerana dia begitu takut untuk menegakkan haknya sebagai suami. Lantas, Tuhan mentakdirkan dia untuk bertemu Dani dan kembali mencari kekuatan dari Tuhan. Begitu juga dengan pembunuh dan kesemua watak antagonis, ia memberi kita kesedaran bahawa manusia melakukan kejahatan adalah kerana pilihan sendiri dan bahana mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan.

8. 8. Keseluruhannya , buku ini cukup menarik untuk dibaca. Pada pandangan saya, Imaen berjaya menjadikan Labyrinth ‘hidup’ kerana pembunuh hanya meninggalkan bukti yang sangat samar dan kelihatan begitu mustahil untuk polis menemukan petunjuk kes . Dan mungkin pening-pening lalat sedikit dengan karakter pembunuh yang sangat ironis!Tidak banyak kejutan tetapi penuh ironis!

9. 9. Nah, sedikit petikan dari nota pembunuh. Selamat menjejaki pembunuh homoseks!

Akulah angsa yang terbang ke syurga, mengintai di sebalik daun awan memerhati manusia dalam rakus menelanjangi bumi merompak hartanya memperkosa!